Segelintir orang di Malaysia sama ada pengikut sukan bola sepak Malaysia ataupun tidak, mereka memandang sepi dan negatif apabila Kelab Bola Sepak JDT membuat pelbagai usaha untuk membangunkan sebuah kelab bola sepak yang profesional pada masa kini.
Penguasaan JDT dalam Liga Malaysia bukannya bermula sekelip mata. Ia mengambil masa hampir 9 tahun untuk mencapai segala apa yang dilihat ada pada hari ini. Ia berhasil adalah dari usaha yang bersungguh-sungguh dan tidak culas dalam melaksanakan tanggungjawab.
Penswastaan pasukan atau kelab bola sepak di dalam Liga Malaysia telah lama bermula namun kebanyakkan pasukan lain pada awal saranan FAM untuk persatuan bola sepak berubah kepada kelab swasta dipandang sepi dan ditangguh-tangguh perlaksanaannya. Banyak ketirisan serta keculasan dalam pengurusan kewangan berlaku dalam persatuan bola sepak sehingga masalah pembayaran gaji masih ada kedengaran tatkala Liga Malaysia sudah lama masuk ke era profesional.
Jawapan kepada persoalan "bila kita dapat melihat raja baharu Liga Super Malaysia?" ialah jika semua kelab bola sepak diurustadbir dengan telus, jujur dan bersungguh-sungguh tanpa campurtangan orang politik atau tidak membawa budaya politik kotor ke dalam kelab bola sepak, nescaya ia mampu menjadikan mutu bola sepak sebaik atau lebih dari apa yang dilakukan oleh Tunku Ismail Idris ( Tunku Mahkota Johor ) di Kelab Bola Sepak JDT. Masa itulah kita dapat lihat "raja baharu" Liga Super Malaysia !