30 minit gantung bendera putih - bantuan sampai

Seorang ibu tunggal berasa sebak apabila mendapat pelbagai bantuan selepas tidak sampai setengah jam dia mengibarkan bendera putih di hadapan rumah sewanya di Taman Gemencheh Baru di sini hari ini.

M. Dewgi, 66, berkata, beberapa hari lalu dia mulai berasa risau apabila bekalan makanan hampir kehabisan dan dia serta anak ketiganya, V Vishu, 45, juga tidak bekerja lagi kerana hilang upaya akibat strok.

Menurutnya, dia dan anaknya itu menggunakan sepenuhnya wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membayar sewa rumah sebanyak RM450 sebulan dan baki RM100 lagi digunakan untuk membeli makanan keperluan harian.

“Tak lama lepas saya kibarkan baju berwarna putih di hadapan rumah sewa, ada orang Melayu, Cina dan India datang hantar bantuan makanan.

“Ada yang hanya hantar satu tray telur, beras, meggi dan gula. Mereka kata ini sahaja yang mampu berikan tapi saya kata tak mengapa kerana bantuan ini sangat bermakna buat saya,” katanya ketika ditemui hari ini.

Dua beranak berkenaan mendapat sumbangan bekalan makanan harian, basah dan wang tunai daripada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pekan Gemencheh dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri Gemencheh, Datuk Mohd. Isam Mohd Isa.

Dewgi berkata, sebelum ini mereka dua beranak tinggal menumpang di rumah saudara namun disebabkan anaknya disahkan sakit strok dan tibi, dia harus mencari rumah sewa yang lain.

Menurutnya, anaknya itu sebelum ini bekerja dalam sektor perkapalan di Johor sebelum diserang strok serta tibi dua tahun lalu.

“Kini, saya tinggal menyewa bersama seorang lagi adik saya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Sementara itu, Pengerusi KRT Pekan Gemencheh, Zolkifli Manas berkata, pihaknya sedia membantu penduduk yang terkesan susulan pendemik Covid-19 dan sejak telah menyampaikan 60 bakul makanan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.


Kredit : 

NOR AINNA HAMZAH ( Kosmo )

Bisnes Bundle

Bisnes Air Balang

Bisnes Penghantaran Makanan