Titah ucapan sulung TMJ sebagai Presiden FAM


Berikut adalah titah ucapan sulung DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim sebelum penutup Kongres Tahunan Ke-53 FAM yang telah berlangsung di Hotel Hilton Petaling Jaya, hari ini.

Tunku Ismail yang bakal genap berusia 33 tahun pada 30 Jun ini telah disahkan menang tanpa bertanding jawatan Presiden FAM bagi penggal 2017-2021 pada kongres hari ini selepas pencabarnya, Tan Sri Annuar Musa menarik diri, dua hari lalu.

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Kami telah tiba ke tahun yang baharu, era yang baharu. Tetapi tidak semestinya yang berada di dalam bilik ini (dewan kongres) harus berasa selesa.

Yang pertama, saya ingin mengucapkan tahniah kepada yang menang pada pemilihan hari ini. Tapi apa yang lebih penting adalah untuk kami sedar bahawa ini adalah tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan kepada kita semua.

 Jangan lupa tuan-tuan dan puan-puan, bola sepak adalah hak milik rakyat dan kami yang berkhidmat dalam mana-mana organisasi bola sepak, berkhidmat kepada rakyat di dalam negara ini.

Jadi saya menyeru dan juga memberi nasihat yang ikhlas kepada semua yang berada di dalam bilik ini untuk sentiasa menjaga sikap integriti, profesionalisme dan juga dedikasi dari segi menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing.

Saya akan sentiasa memantau dan juga sedia memberi nasihat kepada mana-mana ahli gabungan yang memerlukan saya membantu mereka dan berkongsi pandangan di mana saya akan sentiasa berada di situ.

Tapi apa yang lebih penting sekarang ini, kita harus bersikap realistik iaitu yang pertama adalah dedikasi dan kita punya keazaman untuk mencapai sasaran-sasaran kita.

Cara saya bekerja, awak semua perlu mengikut saya punya momentum sekarang ini. Yang mana berada di meja atas ini (barisan ahli jawatankuasa eksekutif yang baharu), harus sentiasa bersedia pada bila-bila masa saja dengan tanggungjawab yang telah diberikan.

Selain daripada itu, kami juga ada pelan jangka masa pendek dan pertengahan, termasuk juga pelan jangka panjang untuk bola sepak tanah air. Saya juga mempunyai perancangan yang mana saya akan kongsikan sebentar lagi dengan barisan exco-exco saya dan juga pihak media.

Tetapi apa yang penting, sekali lagi saya memberi nasihat kepada semua yang berada di dalam bilik ini mengenai ketelusan, keikhlasan dan sikap integriti kita semasa menjalankan tugas kerana saya mahu semua rakyat Malaysia rasa yang mereka bersama kita semua untuk membangunkan dan memulihkan imej bola sepak tanah air.

Jadi apa yang mustahak adalah persepsi orang ramai terhadap organisasi tersebut. Untuk mendapatkan persepsi yang baik dan juga keyakinan yang baik, kita perlu menjadi contoh kepada yang lain iaitu menerusi cara kita menjalankan tugas dan tanggungjawab kita. Itu adalah yang paling mustahak.

Tahniah sekali lagi kepada semua dan jom kita bekerja!

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

DYAM MEJAR JENERAL TUNKU ISMAIL IBNI SULTAN IBRAHIM
PRESIDEN FAM
SABTU, 25 MAC 2017

Sumber : laman sesawang FAM



Bisnes Bundle

Bisnes Air Balang

Bisnes Penghantaran Makanan