MELIHAT pau yang putih gebu dan bersaiz agak besar pasti ramai tidak menyangka harganya cuma 80 sen. Pau 'air tangan' Fan Chayono Hariyanto, 30, yang turut dikenali sebagai Pau Wak J, semakin dikenali kerana rasanya enak dan mempunyai inti yang padat.
Nyata keputusan dibuat Fan Chayono untuk berhenti kerja sebagai pemandu lori demi memulakan perniagaan pau, tidak sia-sia apabila pau yang dijual 'licin' hampir setiap hari.
“Kadang-kadang 400 biji pau habis terjual dalam tempoh kurang empat jam. Gerai pau di tepi Jalan Parit Mesjid, Pontian, Johor akan dikunjungi orang seawal jam 3 petang sebelum ditutup pada jam 7 malam.
“Tidak sangka gerai pau yang dibuka lima bulan lalu menjadi perhatian orang ramai yang mahu mendapatkan pau pada harga yang murah,” katanya.
Bapa kepada tiga cahaya mata ini, berkata tiada rahsia dalam menghasilkan pau yang enak cuma jangan kedekut dalam meletakkan inti dan bahan-bahan yang digunakan.
“Walaupun murah, tetapi rasa pau tetap sedap. Saya ingat pesanan rakan yang sudah berjaya dalam perniagaan iaitu barang dijual pada harga rendah dalam kuantiti banyak juga boleh untung.
“Bertitik tolak dari situ, saya ambil keputusan untuk jual pau dengan harga 80 sen sahaja," katanya.
Dia memberitahu kira-kira 20 kilogram tepung gandum digunakan setiap hari bagi menghasilkan kira-kira 400 biji pau.
“Isteri saya, Hamisah Abd Samad, 31, akan masak inti kelapa, kentang, kaya dan kacang merah seawal jam 8 pagi setiap hari. Pau juga diadun pada awal pagi.
“Bagi mengekalkan rasa kesegaran pau, pengukus kayu digunakan,” katanya.
Dia tidak menolak harga barang semakin meningkat, namun katanya dia akan sedaya upaya mengekalkan harga pau 80 sen tersebut bagi membolehkan lebih ramai orang menikmati pau dengan harga murah.
“Ada juga yang bertanya kenapa nama pau Wak J, saya hanya tersenyum dan memberitahu Wak J itu bermaksud Johor dan bukannya Jamal atau Jalil,” katanya.
Sumber Asal : Sinar Harian