Salam sejahtera kepada penduduk Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak...
Di blog ini, saya cuma menyampaikan berita yang tidak disiarkan di surat khabar dan stesyen televisyen arus perdana di Malaysia. Saya tidak pandai berpolitik. Ini cuma sebahagian usaha saya menyemarakan lagi proses demokrasi berperlembagaan di negara ini. Ikuti berita di bawah ini :
Kerajaan Malaysia bertanggungjawab membantu syarikat perkapalan kargo
Israel, Zim Integrated Shipping Services Ltd terus berkembang di
Malaysia, kata Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Azmizam Zaman
Huri.
“Kapal-kapal kontena Israel berlabuh di seluruh dunia. Dengan
membenarkan kapal mereka berlabuh di Malaysia, ini secara langsung
membantu kelancaran operasi syarikat mereka.
“Syarikat kapal kargo dari Israel ini bukan sahaja dibenarkan
berlabuh, malah turut dibenarkan memiliki pejabat mereka sendiri di West
Port,” jelas Azmizam.
Beliau turut menambah, selepas syarikat perkapalan Malaysia MISC
Berhad menghentikan operasi penghantaran kargo, syarikat tempatan yang
terlibat dalam aktiviti import dan eksport akan semakin kekurangan
pilihan.
Pada November tahun lalu, MISC Bhd dalam satu kenyataan mengumumkan
akan menghentikan perkhidmatan perkapalan kontenanya pada akhir Jun
depan, berikutan perubahan radikal dalam industri perkapalan serta
kerugian besar dalam segmen berkenaan.
“Tidak dapat tidak, ada di antara syarikat tempatan yang akan mendapatkan khidmat kapal kontena Israel.
“Kerajaan mendakwa tiada kuasa untuk menyekat perdagangan oleh
pihak-pihak lain dengan Israel, sedangkan pastinya ada prosedur yang
perlu dipatuhi sebelum mana-mana pihak dibenarkan berlabuh di sini”,
kata beliau lagi.
Kerajaan Malaysia terus mendapat bantahan selepas pendedahan
berkenaan kapal kargo dari Israel, Zim Europa dan Zim USA yang berlabuh
di Pelabuhan Kelang terus dari Ashdod, Israel.
Kerajaan bagaimanapun menafikan wujudnya hubungan diplomatik dan
politik dengan Israel dan mengatakan hubungan dagang terpaksa dilakukan
atas ‘tuntutan globalisasi’.
Dalam pada itu, Azmizam berkata, kerajaan Umno-Barisan Nasional cuba
menutup isu sebenar dengan mendakwa hubungan dagang dengan Israel
bermula pada tahun 1996, ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di dalam
kabinet.
“Dakwaan ini tidak relevan. Dokumen yang ada pada kita menunjukkan
kapal-kapal mereka mula berlabuh pada tahun 2003″, kata Azmizam lagi.