Sebilangan kawasan Klang banjir

Peralatan Bomba yang dikerahkan ke lokasi banjir. 

 

Beberapa buah rumah di dua kawasan dalam daerah ini dilaporkan dinaiki air berikutan hujan lebat selama beberapa jam, pada awal pagi Jumaat.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor berkata, sebuah jentera, pacuan empat roda bersama bot aluminium dan anggota dikerahkan ke lokasi di Jalan Pengkalan, Kampung Nelayan selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 6.12 pagi.

"Berlaku banjir kilat melibatkan sebuah rumah. Terdapat lima mangsa terdiri daripada dua dewasa dan tiga kanak-kanak.

"Kesemua mangsa berpindah untuk menyelamatkan diri sebelum pihak bomba sampai. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan di lokasi ini," katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Beliau berkata, dalam kejadian berasingan, sebuah jentera dan anggota dari Balai Bomba Telok Panglima Garang dikerahkan ke Jalan Perepat setelah menerima laporan banjir pada jam 7.19 pagi.

"Pasukan penyelamat tiba pada jam 7. 24 pagi dan mendapati berlaku banjir kilat melibatkan lima buah rumah," katanya.

Sementara itu, menurut Hafisham, pihak bomba menerima panggilan pada jam 5.24 pagi melaporkan sebatang pokok tumbang dan menghempap empat buah kenderaan di Jalan Samudera 10/2 di sini.

"Sebatang pokok tumbang dan menghalang laluan serta menghempap empat buah kenderaan jenis Perodua Myvi, Axia, Bezza dan Haval bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya.




Kredit : 

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil ( Karangkraf )

Bisnes Bundle

Bisnes Air Balang

Bisnes Penghantaran Makanan