Rentas daerah ke Tampin : polis ambil tindakan


Tiga lelaki dikenakan kompaun sebanyak RM3,000 setiap seorang selepas dikesan melakukan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP), Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab Wahab berkata, kesemua mereka melakukan kesalahan apabila mandi di kolam Bukit Tampin, di sini dan disedari oleh pasukan Pematuhan SOP PKP Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin yang membuat pemantauan di kawasan berkenaan kira-kira pukul 11.30 pagi, 20 Mei 2021.

Menurutnya, lelaki berusia dalam lingkungan 20 hingga 32 tahun itu dikompaun atas kesalahan melakukan aktiviti dengan kehadiran ramai tanpa penjarakkan fizikal.

“Selain tiga kompaun berkenaan, dua kompaun turut dikeluarkan atas kesalahan rentas daerah tanpa surat kebenaran polis. Bagi kesalahan ini, seorang lelaki berusia 32 tahun dikesan merentas daerah dari Kuala Pilah ke Tampin kira-kira pukul 11 pagi ketika pemeriksaan di Stadium Tampin. 

“Seorang lagi lelaki berusia 69 tahun pula gagal mengemukakan alasan munasabah dan dokumen kebenaran polis ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) Batu 1 kira-kira pukul 12 tengah hari,” katanya.

Anuwal berkata, bagi kesalahan merentas daerah tanpa kebenaran polis berkenaan, masing- masing dikompaun sebanyak RM5,000.

Menurutnya, kesemua kompaun bernilai RM19,000 itu dikeluarkan di bawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. 


Kredit - UTUSAN ONLINE ( NOR AINNA HAMZAH )

Bisnes Bundle

Bisnes Air Balang

Bisnes Penghantaran Makanan