Hari ini, saya didatangi oleh kenalan yang dikenalkan oleh sahabat saya. Pada mulanya beliau datang atas urusan kad perniagaan yang ditempah pada saya. Sambil itu, kenalan ini mempromosikan barang jualannya. Nampak tidak ada apa-apa masalah kan...? Yang jadi masalahnya ialah beliau mempromosikan minyak pelaris dengan cara dan amalan pemakaian tertentu, kononnya dapat menghalau jin yang melindungi pandangan pelanggan pada kedai saya dan melariskan perkhidmatan di kedai saya.
Cara seumpama ini tidak saya amalkan kerana itu bukan cara saya untuk melariskan atau memajukan perniagaan saya. Seandainya kedai saya kurang didatangi pelanggan, bukan kerana jin atau syaitan yang jadi penghalang, tetapi saya kekurangan modal untuk membuat promosi perkhidmatan seperti membuat banner. Ini sahaja yang jadi masalah saya. Minyak tu pula dijualnya dengan harga ratusan ringgit. Jika saya sedang ada duit sebanyak itu, lebih baik saya pergi tempah banner dalam pelbagai saiz.
Setelah berusaha untuk perniagaan, kita perlu berusaha untuk melengkapkan solat lima waktu serta lain-lain amalan yang disarankan oleh Allah dan Nabi Muhammad S.A.W. Walaupun diakui minyak atau apa jenis bahan sekalipun telah dibacakan ayat Qursi mahupun Yassin, lebih baik kita jauhinya lebih-lebih lagi diragui bahan yang terkandung di dalam minyak tersebut. Dikuatiri kita terlalu taksub dengan minyak pelaris dan ia boleh menggelincirkan akidah umat Islam. Adalah lebih afdal, kita memohon ibu bapa kita membacakan surah Yassin dan Qursi untuk kita dari membelanjakan ratusan ringgit untuk membeli minyak pelaris.