Saya sejak beberapa minggu kebelakangan ini, menguruskan "projek kecik" membaiki komputer terpakai disamping barangan aksesori yang berkaitan di salah sebuah sekolah rendah di kawasan Tengkera.
Alhamdulilah, rezeki bertambah apabila guru-guru di sekolah itu meminta saya membaiki sistem bagi laptop mereka. Dan rezeki halal itu dikongsi dengan rakan usahawan lain sebagai "duit minyak.."
Untuk pengetahuan semua, dalam masa hampir dua tahun saya menjalankan perniagaan secara lebih serius, sehingga kini masih belum membuat sebarang pinjaman modal dengan mana-mana pihak. Saya cuba untuk bertahan tanpa mengharapkan pinjaman wang untuk perniagaan saya ini walaupun dalam keadaan ekonomi Malaysia yang "indah khabar dari rupa".
Saya berjimat pada sebarang segi yang mampu dan boleh seperti dari segi penggunaan elektrik, makan minum serta telefon. Saya jarang keluar rumah pada hari cuti, kecuali jika untuk membeli barangan keperluan dapur. Kadang-kadang saya ambil cuti satu atau dua hari, tak buka kedai, kerana ingin menenangkan fikiran disamping mencari dan mencipta idea serta perlaksanaan bagi memajukan perniagaan. Dalam pada itu, alatan membaiki komputer juga berada di rumah. Manalah tahu, tiba-tiba ada "jobs" masa tengah cuti...
Berniaga berseorangan ni memang penat dan menyusahkan bagi sesetengah pendapat orang, tapi saya mempunyai tekad untuk berjaya dengan mutlak dalam bidang komputer ini kerana ianya sumber pendapatan saya untuk menyara hidup.
Biarlah apa orang lain nak kata tentang bangsa Melayu dalam perniagaan, yang penting saya akan sentiasa berusaha agar dapat diwariskan syarikat saya ini pada keturunan saya, berterusan sampai bila-bila...
"Mencipta harta sendiri tanpa mengharapkan harta pusaka..."