Konsep Zoo Maya akan dilaksanakan di Zoo Negara



Bagi meneruskan kelangsungan operasi, Zoo Negara kini dalam perancangan untuk mewujudkan 'zoo maya'.

Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly@Rahmat Ahmat Lana berkata, konsep itu dilihat signifikan dengan keadaan semasa negara yang masih dilanda Covid-19.

Menurutnya, menerusi konsep berkenaan, pencinta haiwan boleh melihat spesis di Zoo Negara menerusi konsep maya di seluruh dunia.

Katanya, konsep ini dilihat mampu menjadi platform terbaru untuk memastikan Zoo Negara terus beroperasi dengan hasil kutipan bayaran daripada hanya bergantung sepenuhnya kepada pengunjung.

"Sejak Covid-19, Zoo Negara hanya dapat beroperasi beberapa kali dalam tempoh singkat sebelum diarahkan tutup oleh kerajaan bagi mengelak penularan.

"Jadi menerusi konsep 'zoo maya' ini, orang ramai boleh melihat haiwan menerusi platform maya tanpa perlu datang ke Zoo Negara.

"Konsep ini dilihat mampu menjana pendapatan baharu kepada Zoo Negara agar tidak terus terkesan jika tidak dapat beroperasi," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Beliau berkata, konsep ini masih lagi diperhalusi dan beberapa syarikat akan mengemukakan kertas kerja untuk dinilai dari segi kos dan keberkesanannya.

Mengulas mengenai operasi, dana yang dimiliki Zoo Negara kini semakin menyusut dan hanya mampu bertahan sehingga awal Mei ini.

Katanya, sumbangan orang ramai masih diterima namun diharap ia boleh ditingkatkan kerana kos operasi bulanan mencecah RM1 juta.

"Setakat ini dana yang ada masih dapat menampung operasi lebih 4,000 haiwan dan membayar gaji pekerja selain bayaran lain.

"Namun diharap sekiranya ada pihak yang mahu menyalurkan bantuan dana boleh berhubung terus dengan Zoo Negara," katanya.


Kredit :

- MyMetro ( Ekhwan Haque Fazlul Haque )

- NSTP

Bisnes Bundle

Bisnes Air Balang

Bisnes Penghantaran Makanan