Pemain muda perlu wujud dalam kesinambungan mengekalkan empayar Harimau Selatan supaya terus kukuh. Seperti yang dititahkan oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja bahawa JDT tidak akan sesekali menjadi sebuah muzium. Dengan kiasan itu bererti barisan pemain Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) akan sentiasa berevolusi.
DYAM Tunku Mahkota Ismail berkali-kali menegaskan bahawa setiap pemain muda yang berpotensi dalam negara adalah aset yang berharga dan perlu dijaga sebaik yang mungkin. Kerana itu, JDT tidak sesekali akan mengabaikan dan mempersia-siakan kehadiran pemain muda ini malah berusaha membantu mereka untuk mengembangkan lagi sayap ke peringkat yang lebih tinggi.
Berikut adalah beberapa elemen yang jelas kelihatan diinspirasikan oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail khas untuk pemain muda yang menyarung jersi keramat Harimau Selatan.
1. PENDAPATAN YANG SETIMPAL
Pendapat yang setimpal adalah perkara subjektif. Namun perkara ini perlu diutamakan terlebih dahulu oleh mana-mana pemain muda. Pendapatan yang setimpal seiring dengan prestasi di samping perlindungan dan kebajikan yang terjamin perlu menjadi fokus demi jaminan masa hadapan.
Sejak kebelakangan ini, masalah utama pengurusan pasukan di Malaysia dan perlu perhatian serius adalah perlindungan dan kebajikan pemain. Banyak pemain yang menjadi mangsa keadaan sehingga terpaksa mengikat perut setelah berbulan-bulan gaji tidak dibayar.
Di JDT, pengurusan amat konsisten menjaga kebajikan pemain dan menjadikan perkara ini sebagai tangga paling utama dalam operasional organisasi. Para pemain Harimau Selatan sentiasa dijaga dan dilindungi dari setiap aspek kebajikan. Yang pasti, JDT tidak akan membenarkan sama sekali 'parasit' wujud menghancurkan sistem pengurusan.
2. KEPEKAAN ORGANISASI DALAM TANGGUNGJAWAB SOSIAL
JDT juga tidak akan melepaskan tanggungjawab sekiranya mereka dilanda kecederaan masa panjang seperti yang terjadi kepada Gary Steven Robbat, Syafiq Ahmad, Natxo Insa. Begitu juga pemain yang menerima hukuman serius oleh AFC seperti Farizal Marlias setelah digantung selama 12 bulan juga tetap tidak diabaikan sama sekali.
JDT juga pernah memberi peluang kedua bagi pemain yang mempunyai potensi dan bakat besar tetapi menerima musibah seperti yang berlaku pada Rozaimi apabila mengalami kecederaan selama setahun dan dilihat oleh kebanyakan pemerhati bola sepak bahawa masa hadapan pemain ini sudah berakhir.
Langit gelap yang menutupi kehidupan pemain itu kembali cerah apabila ditunjukkan jalan oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail dengan mengambil keputusan drastik menerima Rozaimi ke kem JDT. Ini adalah contoh paling tepat dan boleh dijadikan bukti bahawa para pemain muda ini perlu yakin dengan perlindungan dan tanggungjawab sosial organisasi kelas pertama apabila berada dalam pasukan JDT.
3. DESTINASI TERBAIK DALAM PENGEMBANGAN KARIER
Pada masa ini, JDT adalah kelab yang dilihat sesuai untuk dijadikan destinasi impian bagi setiap pemain di dalam negara. Hakikatnya, menyarung jersi Merah Biru adalah satu kejayaan dan penghormatan tertinggi dalam karier setiap pemain muda di Malaysia.
Realitinya, JDT adalah indikator hala tuju terbaik untuk dijadikan tapak persediaan sebelum pergi ke satu peringkat yang lebih tinggi. Pemain yang menyarung jersi JDT bertuah kerana dapat merasai nikmat sebenar kerjaya sebagai pemain bola sepak profesional. Pengurusan efisyen, efektif serta fasiliti dan prasarana yang bertaraf antarabangsa menjadikan keupayaan dan prestasi pemain melonjak dengan pantas.
Pemain yang telah bergelar ahli Keluarga JDT juga amat bertuah kerana akan dikelilingi oleh penyokong yang akan menyokong tanpa prejudis, tidak kira menang atau kalah. Sokongan mereka boleh diolah menjadi satu motivasi untuk lebih berusaha dan bekerja keras untuk mencapai matlamat.
4. MENGEMBANGKAN SAYAP DALAM MENGEJAR IMPIAN
Kesemua pemain bola sepak mempunyai satu impian. Impian bermain dengan pasukan yang hebat dan ternama. Mereka juga pasti memasang impian untuk bermain dan bersaing di peringkat lebih tinggi dan berprestij. Bagi pemain muda, bermain dengan pemain-pemain yang berkualiti serta bertaraf dunia adalah satu kebanggaan.
Safawi Rashid, Akhyar Rasid dan beberapa pemain muda lain di JDT menjadi antara pemain muda yang bertuah setelah berjaya merasai atmosfera kejohanan tertinggi di Asia seperti Liga Juara-Juara AFC (ACL). Pengalaman bertemu kelab hebat Asia seperti Kashima Antlers, Shandong Luneng Taisan FC dan beberapa kelab gergasi Asia yang lain menjadi suatu pengalaman yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila.
Dengan beraksi di peringkat tertinggi ini juga, nilai komersial pemain muda itu juga akan melonjak naik. Satu perkara yang tidak boleh disangkal lagi adalah JDT merupakan satu-satunya kelab yang menjadi penanda aras dan cita-cita para pemain muda di tanah air.
“Skuad kebangsaan akan datang bakal memiliki masa depan yang cerah sekiranya kita jaga pemain ini dengan perancangan yang betul”-DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja.
Sumber artikel: Media JST
Hidup Johor Demi Johor
#HarimauSelatan
#SouthernTigers
#PermataSelatan
#JewelOfTheSouth
#JDTuntukSemua
#JDTforAll