Kakitangan status kontrak lantikan politik ditamatkan perkhidmatan


KERAJAAN hari ini memutuskan kontrak perkhidmatan bagi pegawai dan kakitangan awam lantikan politik akan ditamatkan serta-merta.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pihaknya mendapati terlalu ramai pegawai kontrak dilantik bagi keperluan politik dan pentadbiran pada pemerintahan kerajaan terdahulu.

Beliau berkata, penamatan kontrak pegawai dan kakitangan kontrak itu penting bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan sekali gus mengelak pembaziran.

“Kami mendapati, seramai 17,000 pegawai dan kakitangan awam berstatus kontrak dilantik dan ada antara mereka sudah tamat kontrak, dan akan ditamatkan kontrak.

“Terlalu banyak pegawai kontrak dilantik sama ada untuk keperluan politik dan keperluan pentadbiran,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Katanya, kerajaan akan menyelesaikan isu berkenaan terlebih dahulu kerana ia boleh membebankan perbelanjaan kerajaan.

Bagaimanapun, Tun Dr Mahathir berkata, ada antara kakitangan kontrak termasuk pemandu peribadi dan kakitangan berjawatan rendah akan dipertimbangkan semula dalam kerajaan dan mereka tidak akan ditamatkan kerja.

“Ada antara mereka ini bergaji rendah dan ini menyusahkan mereka jika tiba-tiba mereka diberhentikan dan ditamatkan kerja sekali gus tiada bayaran gaji.

“Kita tidak perlu (menamatkan kerja mereka) dan oleh itu, kita akan beri jawatan lain yang sesuai dengan kelayaan mereka. Proses itu akan mengambil masa dan memerlukan penyelesaian keputusan segera," katanya.

Sebelum ini, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memaklumkan mereka tidak menerima sebarang aduan berhubung dakwaan terdapat penjawat awam berstatus kontrak yang ditamatkan perkhidmatan.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata, pihaknya tidak menerima aduan sama ada secara lisan atau bertulis, sekali gus enggan membuat spekulasi sama ada dakwaan itu benar atau palsu.

Namun, katanya, beliau tidak menafikan kemungkinan ada pekerja yang dilantik atas kapasiti politik, ditamatkan perkhidmatan susulan individu yang melantik mereka sudah tidak lagi berada dalam kerajaan baharu.

Katanya, kakitangan lantikan politik pula bukan bawah CUEPACS dan adalah perkara biasa jika ditamatkan tugasan kerana kerajaan baharu ini mesti mahukan penasihat dan petugas mereka sendiri.

Isu pemberhentian penjawat awam berstatus kontrak diberhentikan timbul susulan peralihan kuasa daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH) dalam membentuk kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.


Bisnes Bundle

Bisnes Air Balang

Bisnes Penghantaran Makanan