Kucing istimewa di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Setahun lalu, gelagat seekor kucing yang tekun mendengar butiran bicara pensyarah dirakam dalam satu sesi pengajaran dan pembelajaran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Biarpun pada mulanya si comel tersebut dilihat seolah-olah bersemangat untuk mendengar kuliah yang terletak di kampus induk universiti itu di Gombak, Selangor, namun ia akhirnya tertidur lena di atas meja.
Gambar-gambar berkenaan kemudian dimuat naik ke akaun Twitter oleh seorang pelajar UIAM, dan ia tiba-tiba menjadi tular sehingga mendapat liputan daripada portal gaya hidup terbesar di dunia, Buzzfeed.
Berkesempatan bertemu si comel itu baru-baru ini, tidak boleh dinafikan kucing yang diberi nama Labun ini sangat bertuah. Berstatus kucing jalanan, kebajikan Labun kini dijaga dengan cukup baik oleh kesemua ‘ibu’nya.
Labun bukan sahaja dijaga empat orang pensyarah, malah mendapat kerjasama pelajar dan petugas pembersihan di bangunan Kuliyyah Teknologi Komunikasi Maklumat yang sudah menjadi rumahnya sejak lima tahun.
“Empat orang mommy (ibu) inilah yang akan bergilir-gilir membelikan makanan harian untuk Labun. Ada pelajar juga ramai yang tidak lokek memberikannya makan dan permainan.
“Bahkan mereka juga rajin melayan Labun bermain,” kata Prof. Dr. Norsaremah Salleh, salah seorang penjaga Labun ketika ditemui portal tempatan Astro Awani baru-baru ini.
Bercerita lanjut tentang kehadiran Labun ke fakulti itu, beliau memberitahu bahawa Labun pada asalnya ditemui berkeliaran di sekitar kawasan berkenaan kira-kira lima tahun lalu.
“Masa tu Labun masih seekor kitten (anak kucing) dan sangat manja. Mungkin dibuang ke sini, sebab tidak pernah pula terserempak dengan ibunya datang menyusu.
“Kasihan melihat keadaannya, saya ambil keputusan untuk menjaganya. Tapi saya tidak berseorangan kerana turut dibantu rakan-rakan pensyarah yang lain,” ceritanya.
Norsaremah bersyukur kerana hasrat mereka untuk memberikan kehidupan terbaik kepada Labun dipermudahkan apabila mendapat sokongan dan bantuan daripada anggota fakulti yang lain, termasuklah Dekan.
Paling menariknya, Labun juga memiliki kad matrik sendiri sebagai pelajar dan staf yang dipakaikan sebagai tanda pengenalan sebagai haiwan peliharaan fakulti tersebut.
“Pekerja pembersihan juga banyak membantu. Contoh pada hari cuti umum, mereka akan membantu tengok-tengokkan Labun kerana kampus akan lengang pada waktu itu,” ujarnya.
Norsaremah juga melihat kehadiran Labun bukan sekadar satu bentuk hiburan tetapi juga sebagai satu cara memupuk rasa sayang dan simpati para pelajar terhadap haiwan.
“Melalui Labun, pelajar juga akan lebih menghargai haiwan dan dapat belajar nilai-nilai murni serta kasih sayang,” katanya lagi.
Sumber :
– Agensi/Mynewshub.cc