Pengadil nombor satu negara, Subkhiddin Mohd Salleh, yang pernah
terpilih untuk pusingan akhir Piala Dunia 2006 di Jerman dan 2010 di
Afrika Selatan, menyatakan hasrat untuk bersara dari profesion
pengadilan bola sepak.
Kata beliau dalam suatu temu-ramah dengan agensi berita, Bernama :
“Saya memilih untuk bersara kerana ingin memberi lebih masa dengan keluarga kerana sebelum ini sibuk dengan tugasan sebagai pengadil,”.
Beliau yang berasal dari Parit Buntar, Perak, mula meniup wisel bagi perlawanan bertaraf dunia sebagai pengadil pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2002 di Jepun/Korea Selatan dan mengakhiri kariernya di pentas dunia di Piala Dunia Afrika Selatan tahun lepas.
Beliau yang masih bertugas sebagai guru di Sekolah Vokasional Nibong Tebal, Pulau Pinang, berkata walaupun bersara, beliau masih bersedia untuk memberi tunjuk ajar dan nasihat kepada mereka yang berminat dengan profesion tersebut.
“Dalam profesion ini, tiada jurulatih khusus seperti pemain bola sepak akan memberi tunjuk ajar kepada pengadil baru sebaliknya mereka perlu mempelajari sendiri daripada pengadil senior yang lebih berpengalaman. Perkara yang turut saya lalui ketika mula dipilih sebagai pengadil FAM pada tahun 1997,” kata beliau yang telah berusia 45 tahun dalam temu-ramah berkenaan.
**Sumber berita dirujuk dari Bernama