Assalamualaikum dan salam sejahtera...
Dunia perniagaan orang Melayu kini sedang mengalami tranformasi dari segi budaya kerja dan sistem perlaksanaan pengurusan bisnes. Tetapi, masih lagi kedengaran "cakap-cakap" yang mengatakan bahawa orang Melayu berhasad dengki melihat kejayaan orang lain, irihati dan cemburu tak kena tempatnya, membomohkan atau mengenakan "ilmu hitam" pada orang yang dibenci dan pelbagai lagi kata-kata perumpamaan bersifat negatif. Semua ini seperti sukar dihapuskan dari hati orang Melayu.
Pelbagai kursus motivasi dianjurkan oleh pelbagai agensi kerajaan dan swasta, sama ada untuk usahawan baru dan usahawan sedia ada, namun kesannya tidak konkrit ( kurang memberangsangkan ) pada usahawan bangsa Melayu. Jika dinilai kelebihan agama yang ada pada bangsa Melayu, agama Islam sendiri menggalakkan umatnya supaya berniaga, apatah lagi Nabi Muhammad s.a.w adalah usahawan yang unggul sepanjang zaman. Etika dan cara berniaga yang ditunjukkan serta diamalkan oleh Nabi Muhammad adalah yang terbaik dan dikagumi oleh semua pihak. Atas sebab ini, orang Melayu yang menjadi ahli perniagaan perlu kembali merujuk kepada Al-Quran dan Hadis bagi memperkasakan ekonomi mereka, yang secara langsungnya memartabatkan imej agama Islam di seantero dunia.
Lain pula kisahnya pada usahawan Melayu yang telah menjalankan perniagaan, terutamanya bagi usahawan muda. Pelbagai cabaran dan masalah yang dihadapi bagi memulakan sesuatu usaha niaga. Antara masalah yang dirasakan "amat popular", yang dihadapi mereka adalah kurangnya sokongan dari keluarga. Maksud sokongan dari keluarga di sini, bukan hanya dari segi kewangan ( modal ), tetapi juga amat penting dari segi sokongan moral.
Sokongan moral dari keluarga memainkan peranan yang sama pentingnya dengan keperluan penyediaan modal ( Ringgit Malaysia ). Contohnya, apabila prestasi perniagaan bagi bulan pertama atau tahun pertama tidak memuaskan, para usahawan muda seringkali cepat mengalah dan mengeluh, di mana ia memungkinkan fikiran seseorang usahawan itu cenderung kepada perkara yang tidak sihat. Jika dibiarkan ia boleh memudaratkan sesuatu perniagaan baru. Di sinilah peranan keluarga perlu dipergiatkan lagi, yang mana menjadi salah satu faktor pengekalan semangat bagi usahawan muda.
Tidak semestinya tahun pertama sesuatu perniagaan terus berjaya dan memperolehi keuntungan. Memang iya, keuntungan adalah antara matlamat utama dalam sesuatu perniagaan, namun apa yang lebih penting pada usahawan atau syarikat yang baru adalah usaha yang berterusan bagi mempromosikan perkhidmatan yang ditawarkan serta pengekalan semangat apabila dilanda masalah. Tanpa semangat yang jitu dan berterusan, kita tidak dapat melihat penciptaan kenderaan, telefon, mentol, komputer dan lain-lain barangan yang kita gunakan pada hari ini.
Bayangkan jika para pereka dan pencipta dahulu cepat berputus asa apabila menemui kegagalan dalam setiap rekaan mereka, pastinya tidak wujud ciptaan atau barangan yang telah saya nyatakan di artikel ini. Malah saya juga tidak dapat menaip artikel ini untuk paparan para pembaca....