Dalam zaman sekarang,pelbagai peluang wujud untuk rakyat Malaysia memperolehi kehidupan yang terbaik. Bermacam-macam peluang atau sumber kewangan halal yang boleh diterokai. Satu"trend" yang semakin popular ialah menjadi usahawan ( menjalankan atau memiliki bisnes ).
Terdapat pelbagai agensi yang berkaitan dengan dunia keusahawanan seperti MARA, MECD, SMIDEC dan beberapa agensi lain yang berkaitan dengan keperluan dalam pengwujudan usahawan. Malah, pihak MARA telah lama terlibat dalam memberi latihan kepada orang ramai sama ada darisegi pendidikan formal mahupun latihan teknikal atau bidang kemahiran. Contohnya dengan penubuhan Pusat Latihan Kemahiran GIATMARA melalui GIATMARA Sdn Bhd di seluruh negara, memberi peluang latihan kepada kaum Melayu yang berminat dalam bidang kemahiran serta menggalakkan pelatih-pelatih ini untuk menubuhkan perniagaan sendiri. Usaha ini dilihat sesuatu yang positif dan amat berkesan memandangkan penguasaan kaum bumiputera dalam bidang ekonomi masih tidak mencapai tahap memuaskan dan ianya kurang 30% penguasaan dalam Malaysia. Terlangsungnya ia dapat mengurangkan masalah pengangguran di Malaysia.
Keluarga juga memainkan peranan penting dalam penggalakkan anak-anak mereka menceburi bidang keusahawanan. Kurangnya pendedahan maklumat tepat mengenai bidang keusahawanan ini telah menyebabkan ramai dari kalangan ibubapa kurang merestui anak-anak mereka berniaga. Ibubapa lebih suka anak-anak mereka kerja "makan gaji" dan kalau boleh biarlah kerja itu mempunyai pencen, bagi meneruskan tradisi keturunan keluarga mereka. Tetapi ada juga ibubapa yang memberi dorongan sepenuhnya kepada anak-anak. Ini kerana ada ibubapa itu begitu memahami keperluan dan minat anak-anak ini untuk berniaga, malah ada keluarga mempunyai perniagaan yang diteruskan dari generasi ke generasi.
Sedangkan dalam agama Islam telah menyatakan bahawa 90% rezeki datangnya dari sumber berniaga. Nabi Muhammad s.a.w sendiri pada awalnya merupakan usahawan berjaya yang jujur lagi dipercayai. Maka, berniaga atau menjadi usahawan adalah sunnah nabi dan suatu jenis pekerjaan yang amat mulia disisi agama Islam. Rezeki datangnya dari Allah yang bergantung pada sejauh dan setekun mana usaha hambaNya dalam mengusahakan sesuatu.